Ahad, 18 September 2022

Berinteraksi Dengan Al Quran Tanda Cinta Dan Rindu

Wahai diriku yang melalaikan Al Quran .

Maka baiki hubungan cinta dan rindu mu kepada Allah , tuhan yang Allah menurunkan Al Quran.

Bagaimana ?

1.Wahai diri mulakan dengan engkau membaca Al Quran dengan maknanya berserta makna prakata.

Insyaallah engkau akan dapat tahu makna ayat itu serta kita melatih dirimu dengan makna setiap perkataan. 

2. Wahai diri, perhatikan makna ayat itu . Apakah peringatan Allah kepada mu? Andai makna ayat merujuk sifat orang munafik, maka engkau perlu perhatikan dirimu, adakah engkau jua mempunyai sifat sebegitu. Sekiranya ya (moga Allah lindungi)....maka baikinya dengan sifat yang mulia supaya engkau tidak lagi mempunyai sifat keji itu. Sekiranya engkau sudah mempunyai sifat mulia itu, maka pertingkatkan usaha mu , sifat mulia mu itu menghampiri mutu sifat mulia Ar Rasul.

3. Wahai diri, berdoalah muga engkau dilindungi Allah sebaik baik pelindung dari perkara keji yang sering Allah ingatkan dalam Al Quran supaya engkau jauhi dan engkau terhindar dari kejahatan itu.

Wahai diri, berdoalah supaya engkau sentiada beroleh kebaikan yang disebut dalam Al Quran setiap kali engkau bertemu dengannya. Amin. Berdoalah menggunakan doa yang Allah telah rakamkan dalam Al Quran .

4. Semak skala cinta dan rindu mu pada Allah hasil interaksi mu dengan Al Quran.

Wahai diri, muga engkau menjadi ahli Al Quran dan ahli Jannah dan ditambah kebaikan oleh Allah dengan dapat melihat wajah Allah di syurga. Amin




Selasa, 6 September 2022

Al Maidah 5 : 118 ms 127

 Full Set


Fasa Allah

Fasa Ibadah

Fasa Sirath @ Kehidupan

الماءدة ٥: ١١٨

 Al Maidah 5: 118 ms 127


ءان تعذبهم  فاءنهم عبادك،

وان تغفرلهم 

فاءنك انت العزيز الحكيم


Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba hamba Mu,

Dan jika Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Maha Bijaksana


Tadabbur:

بسم الله الرحمن الرحيم

Pernyataan Allah dalam dalam ayat ini kepada saya adalah :

Jika Engkau (Allah )mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba hamba Mu

Dan jika Engkau (Allah) mengampunkan mereka,

Sesungguhnya Engkau (Allah) Maha Perkasa Maha Bijaksana


Tazakkur.

AP 1. Peringatan: Berdasarkan dari tadabbur ayat pilihan. 


INGAT.. (Rosliya)


Jika Allah mahu mengazab , sesungguhnya yang di azab itu adalah hamb…

Ahad, 8 Mei 2022


  Mohon perlindungan kepada Allah yang menguasai waktu Subuh dari kejahatan manusia dan kejahatan kegelapan malam


Mukadddimah surah mengikut ulamak dalam Pimpinan Ar Rahman. Mengikut pandangan Qotadah , ayat Madaniah. Namun jumhur ulamak kata ia turun di Mekah, berdasarkan riwayat Abdullah ibnu Abbas.

Surah dimanakan surah al falaq ( sekelian makhluk). Ar Rasul s.a.w  juga menamakan ayat ini dengan nama ayat yang pertama , Qul a'u zubil falaq. Salah satu dari ayat perlindungan. Al ikhlas , ayat memantap aqidah, murnikan keimanan kepada Allah. Melepaskan diri dari syirik.

Dalam tafsir Ibnu Kathir ada hadis menyebutkan bahawa Ar Rasul s.a.w meniupkan tangan tangan, kemudian baca tiga surah ini kepada tangan dan sapukan ayat ini kepadanya Nabi pernah sakit.pada diri dan pada keluarga yang sakit. Begitu juga pada ketika pada ketika hendak tidur.

Ayat ini dijanjikan Allah sebagai ayat pelindungan dan pelepas dari sihir dari kisah Ar Rasul disihir oleh Yahudi bernama 'Labid bin al A'sham di Madinah.

Pelajaran dari ayat.

Ayat ini Allah mulakan dengan perkataan "Qul". Ada lima surah yang Allah mulakan dengan "Qul" dimulai dengan Surah Jin.

Allah arah Nabi Muhammad untuk memohon pelindung dengan Allah Yang Maha Kuasa yang Maha memberi perlindungan.

a. baca al quran , a'zubillahi minas syaitonirrojim. Untuk mulakan baca kalam Allah.

b. perlindungan dari kejahatan makhluk, baca tiga ayat pelindung.


Aku mohon perlindungan dengan Allah yang mencipta waktu Subuh dan segala sesuatu yang terbelah dan sekelian makhluk. Sesiapa yang dalam kesedihan, kesusahan dan kesempitan digalakkan untuk mengamalkan ayat ayat ini dengan keimanan pertolongan dan sadaran itu hanya dari  Allah Yang Maha Berkuasa.

Aku memohon perlindungan dengan Allah dari bahaya gelap apabila ia masuk. Ingatan bahawa waktu Isyak adalah dari habis Maghrib sehingga tengah malam. Kejahatan malam selepas separuh malam , malam yang gelap. Penjahat dan ahli sihir aktif selepas baik masuk gelap iaitu masuk maghrib. Walaubagaimanapun malam juga adalah untuk beribadah dengan Allah, bermunajat dan seumpanya.

Dari kejahatan makhluk apabila meniup . Dan dari kejahatan apabila orang dengki dan hasad apabila ia dengki. Hasad dan dengki adalah perasaan kita mahu nikmat itu kita mahukan hilang dari orang lain.

Amaran, orang jahat akan menzahirkan penyakit hatinya....semak diri kita. Kawan cerca kawan lain adalah tanda hasad. 

Kesimpulan

Allah arah untuk makhluknya nerlindung denganNya dari kejahatan yang ada:

a. Kejahatan makhluk yang bahaya adalah bila gelap malam. Aktif ketika malam

b. Kejahatan dari makhluk yang jahat iaitu ahli sihir

c. Kejahatan manusia sendiri, iaitu hasad.


Rabu, 4 Mei 2022

Surah 114: an Nas


Surah ini yang masyhur dinamakan sebagai Surah  An Nas, Surah Manusia . Nama ini disebabkan kerana pada awal surah ini Nabi Muhammad s.a.w diperintahkan untuk memohon perlindungan kepada Allah Subhanallahu Taala pemelihara setiap manusia.

Surah sebelum ini adalah surah yang al Falaq. Sangat berkait dengan surah An Nas yang sedang kita bincangkan. Kedua dua surah ini menyebut berkaitan kejahatan manusia. Maka kita menerima nasihat terbaik dari tuan manusia iaitu Allah Subhanallahu Taala , pencipta manusia. Nabi menamakannya sebagai Surah An Nas , mengambil dari ayat yang pertama. Surah ini adalah salah satu dari tiga surah pelindung iaitu Surah An Nas, Surah Al Falaq dan Surah Al Ikhlas. Insyaallah dengan mengamalkan membaca surah pelindung ini, insyaallah kita selamat.

Surah An Nas mempunyai enam ayat. Pandangan kuat mengatakan surah ini turun di Mekah, surah Makiyyah iaitu pendapat yang rojih dari sahabat Abdullah ibnu Abbas r.a. Pendapat yang kata ayat turun di Madinah kerana ketika di Madinah sejarah Nabi Muhammad disihir oleh Yahudi, malaikat turun baca surah ini untuk menghilangkan sihir tersebut.

Intisari Surah An Nas ini Allah mengarahkan kita mohon perlindungan bahaya batin kepada Allah dengan tiga nama Allah iaitu Tuhan Manusia, Raja Manusia dan Sembahan Manusia daripada satu perkara yang besar iaitu bahaya kejahatan penyakit yang batin. Ada dua dimensi kejahatan penyakit batin iaitu melalui penyakit shahwat dan penyakit syubahat . Kedua penyakit batin ini menganggu minda dan jiwa manusia. Penyakit shahwat melibatkan segala keinginan yang salah atau yang melampau kepada kehidupan dunia. Penyakit syubahat pula melibatkan perkara keraguan dalam pemikiran dan keimanan kepada Allah. Contohnya adalah seperti orang munafik . Mereka mengaku beriman dimulut namun dalam pemikiran mereka menolak keimanan tersebut. Sehingga wujudlah keraguan kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan timbullah gerakan sekular, gerakan mengutaman akal dari wahyu (muktazilah), anti hadis , golongan liberal dan seumpamanya. Juga ingatan buruk angkara gangguan makhluk yang tidak kelihatan oleh manusia iaitu syaitan dan jin. Termasuk angkara kejahatan makhluk yang boleh dilihat iaitu manusia yang jahat . Perasaan dan pemikiran buruk itu merosakkan iktiqad dan kepercayaan , juga amal ibadat dan bawaannya.

Perbincangan ayat.

Ayat 1-3.

Allah perintah Ar Rasul mohon perlindungan dengan tiga nama Allah dari kejahatan syaitan untuk melawan penyakit batin , hasil hasutan syaitan bila manusia lalai dari mengingati Allah dan balasan Allah . Oleh kerana ulamak mengatakan iman akan naik turun mengikut ingatan kita pada Allah. Syaitan tidak akan masuk melalui jalan larangan dalam agama. Tetapi syaitan akan masuk melalui penyakit hati, seperti lorong penyakit hati , was was, ujub, riak, hasad dan seumpanya.

Ketuanan dan ketuhanan Allah telah dinyatakan oleh Allah sendiri dalam ayat ini yang berhak manusia mohon perlindungan. Allah menyebutkan sifat kekuasaannya Raja Manusia, Tuhan Manusia , Sembahan Manusia sebagai tempat yang layak sebagai tempat pemohonan hambanya.

Kalimah manusia An Nas diulang sebanyak lima kali dalam surah ini menunjukkan kepada ketinggian kehebatan manusia dan kedudukan petunjuk ini kepada manusia. Allah seru manusia seluruhnya kepada keimanan. Pada tahap bila manusia telah beriman , Allah seru pula dengan panggilan wahai orang beriman kerana Allah ingin memberikan arahannya undang-undangnya. Keadaan ini adalah kerana hanya manusia yang beriman sahaja yang akan taat pada Allah dan suruhanNya.

Was was iaitu keraguan itu adalah lintasan hati. Maka bila ia berlaku was was Ar Rasul s.a.w mengajarkan untuk kita membaca ta'awuz. Syaitan umpama anjing. Kalau kita tidak layan dia dengan cara baca ta'awuz dan tidak melayan gangguan dan lintasan dari syaitan itu maka gangguan itu akan berlalu.

Sudur = dada...lapang dada. Medan was was dalam dada.

Qulbu= hati...tenang hati

Syaitan berada dalam manusia dalam salur darah. Bila manusia puasa, syaitan akan lemah.

Siapa penghasut bisikan was was ? Mereka terdiri dari manusia dan jin yang dipengaruhi oleh syaitan. Iblis adalah dari kalangan jin iaitu dari api. Syaitan pula adalah sifat golongan yang derhaka dari golongan jin dan manusia. Syaitan ada tiga kategori. Katogori iblis , jin kafir dan manusia kafir.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan bahawa Surah Al Falaq dan Surah An Nas adalah bacaan tiada tolok bandingan untuk mohon perlindungan dari segala bahaya gangguan syaitan. Dan bacalah surah tiga Qul  , tiga kali pagi dan petang supaya selamat dari mara bahaya dari gangguan syaitan.

Allahu a'lam


Rujukan : Kuliah Abu Anas Madani







Rabu, 16 Oktober 2013

Senyum dan Sedekah


Senyum adalah sebahgian dari sedekah. Ia tidak memerlukan wang. Tidak memerlukan tenaga yang banyak. Malah satu sunnah Ar Rasul.

Ia juga sebahgian dari penawar bagi diri yang menerima senyuman. Maka para penziarah sahabat yang sedang sakit  dan menerima rawatan datangi mereka dengan muka yang manis dan senyuman.

Senyuman juga sebahgian dari terapi bagi yang sedang diuji dan sedang menerima rawatan hatta bagi yang masih dalam fasa diagnosis.

Senyum harus lakukannya dengan sedar. Sekiranya tidak,  yang akan terzahir adalah apa yang diminda separa sedar......terlukis di wajah kita kegusaran, kemarahan, kebencian , kesedihan, kebodohan dan segala macam perasaan yang tidak membina iman.

Oleh itu kita harus usahakan senyum dengan sedar. Bila kita senyum badan akan mengeluarkan bahan kimia endorphine yang bagus untuk kesihatan badan.

Tutup pintu masuk syaitan ke jiwa dengan memperbanyakkan bertaawuf dan beristigfar.

Ungkapan positif juga boleh membantu dalam meningkatkan tahap perawatan dalam senyuman kita.  Antara ungkapan yang boleh kita bisikkan pada diri adalah :

a.  "Aku senyum kerana bersyukur kepada Allah menjadikan ku antara hamba yang   diuji . Maka dengan ujian ini ia menghampirkan diriku kepadanya, Allah."

b. "Aku senyum kerana bersyukur Allah membantuku untuk mengerti erti kesabaran".

c. " Aku senyum kerana bersyukur Allah menyedarkanku bahwa berkata kasar itu sebahgian dari akhlak yang keji, lalu ku ikuti kesilapanku dengan senyum untuk menghapuskan dosa."

dan seumpamanya.

Salam senyum kesabaran dan kesyukuran









Ahad, 3 Mac 2013

Masa Dan Kehidupan

Semakin berlalu masa semakin bertambah usia dan semakin hampir kita kepada perjanjian dengan Allah. Masa yang baki makin berkurang setiap hari. Realiti ini tidak mengira manusia itu kaya miskin atau tua muda sama ada yang berpenyakit atau yang sihat.
Maka kita harus berusaha supaya  setiap saat yang dilalui penuh makna disisi Allah dan kita tenang. Jadi tidak perlulah kita berduka nestapa dengan apa jua situasi yang dilalui. Kita harus bijak melalui baki kehidupan didunia ini untuk kehidupan yang kekal diakhirat nanti. Terima seadanya selagi mana ia perkara harus. Bertolak ansur itu tindakan orang yang bijaksana. Dalam banyak keadaan Allah beri situasi yang kita tidak selesa. Percayalah dalam banyak situasi yang tidak selesa itu banyak kebaikan yang Allah mendidik kita.....

Sebaik-baik manusia adalah orang yang beriman dan berakhlak mulia pada Allah dan makhluk Allah yang lain. Terkadang kala kita bias pada Allah. Kita lebih menjaga adab dengan manusia berbanding menjaga adab dan tuntutan Allah.

Ingatan ini untuk diri yang menulis coretan rasa dan para pembaca yang dikasihi




















Selasa, 7 Jun 2011

Mencegah Dan Berubat Itu Ibadah


Sudah lama aku tidak menulis di sini. Ramai kawan kenalan baru yang di uji dengan penyakit kanser. Ramai rakan yang sihat semula. Ramai sahabat yang sedang berusaha. Ramai juga kawan-kawan yang telah pulang ke rahmatullah. InsyaAllah aku akan menyusul.

Akhir Februari aku terpilih menziarahi Makam Nabi Muhammad s.a.w. Kenangan manis di bumi suci amat indah. Aku sempat berkata kepada ibuku sebulan yang lalu " Mak , Liya nak meninggal di Madinah. Boleh dikuburkan bersama para sahabat di perkuburan Baqi', ramai orang datang ziarah dan doakan kita. Liya dikuburkan bersama para sahabat. InsyaAllah, Amin."

Di Madinah, aku dapat hadiah sangat berharga iaitu bermunajat dengan aman di raudhah. Raudhah tenang dan lapang. Suasana seperti menziarahi rumah sahabat handai. Aku boleh solat tanpa risau jemaah lain menunggu. Aku bebas keluar masuk raudhah tanpa dilarang oleh petugas. Moga Allah mudahkan aku masuk ke Jannahnya dengan mudah. Amin. Inilah pertama kali aku dapat nikmat yang begitu indah walau ia bukan ziarah aku yang pertama. Mungkin kerana kami antara kumpulan jemaah yang awal sampai di Madinah untuk ziarah tahun ini. Mungkin juga sebab waktu aku pergi itu waktu malam. Ramai jemaah lain sudah pulang berihat.

Semalam aku menerima email dari seorang sahabat yang keluarga sedang diuji dengan kanser yang berulang. Aku kongsikan sebahgian email itu pada semua. Moga ada manafaatnya.


Assalamualaikum,

Salam perkenalan.

Puan,

Saintis memang melakukan banyak penyelidikan untk pemyakit kanser. Saya yakin doktor sedang dan akan terus memberi yang terbaik kepada anak saudara puan. Pakar Onkologi dan Pakar Darah adalah yang terbaik untuk dirujuk kerana itu bidang mereka dan mereka amat faham bidang itu berbanding kita orang biasa.

Nabi ada berkata, "Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati."


Seseorang yang sakit lalu meninggal, meninggalnya itu bukan kerana penyakit tetapi telah ketentuan sampai ajalnya.

Oleh itu , setiap manusia wajib hidup dalam syariah, harus melakukan pencegahan penyakit. Sekiranya sakit , kena berusaha mencari ubat selagi mana mengikut syariat. Kalau ada 100 cara, usahakan 100 cara itu.

Insyaallah , Allah beri ganjaran pahala akan kesabaran dan usaha.

Walaubagaimanapun, hak penyembuhan itu pada Allah.

Mohonlah yang terbaik bagi kita dari Allah. Sekiranya kita sembuh, itulah yang terbaik untuk kita. Gunakan peluang kesembuhan dan kesihatan yang diberi itu untuk menjadi manusia yang lebih bermanafaat pada agama.


Sekiranya kita belum sembuh itulah yang terbaik untuk kita ketika itu. Allah suka mendengar curahan keimanan dari kita. Allah buka ruang pahala dan keampunan pada kita. Amat beruntung jika kita mampu memanafaatkannya.

Sekiranya kita meninggal dalam berusaha, itulah yang terbaik untuk kita. Semoga Allah terima segala amal. Semoga Allah redha dengan kita.

Kami sukarelawan insyaallah akan cuba memberikan sokongan disudut rohani dan minda. Keimanan dan kekuatan minda adalah antara faktor yang membantu perawatan
.


2 Jun lalu genap 8 tahun aku diberi kesihatan semula oleh Allah. Bagaimana prestasi sebagai khalifah fil ard ? Eemmmm.........macam yoyo je!. Ok ...get to go to restrategise.

Illal liqoq. Ma 'a salama


Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan

Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan
Lima tahun yang lalu saya Allah pilih untuk menerima ujian dengan didiagnos mengidap kanser payudara. Alhamdulillah proses rawatan berjalan lancar. Insiden itu telah merubah saya ketahap yang lebih baik dari segi iman, amal malah kehidupan saya keseluruhannya. Sekiranya anda ingin sokongan moral dalam menghadapi kanser bolehlah menghubungi saya di rosliya@pusrawi.com.my. atau 019-7579928 Salam