Rabu, 23 September 2009

Mastektomi dan lembayung senja kehidupan


Assalamualaikum kepada semua rakan seperjuangan. Apalah sangat perjuangan kita mengusahakan penyembuhan diri berbanding perjuangan sahabat-sahabat di Palestin.


Namun usaha mendapatkan penyembuhan itu adalah fardhu ain atas diri kita kerana salah satu tujuan syariat itu adalah menjaga kesejahteraan fizikal. Cara mendapatkannya pelbagai, dan banyak kaedah yang boleh dipilih. Adalah lebih bijak sekiranya kita mampu menggunakan segala kaedah itu dalam waktu yang sama untk mendapat hasil yang lebih baik dan optimum.


Sepanjang perkenalan dengan rakan-rakan yang diuji dengan kanser payu dara pelbagai presepsi tentang mastektomi. Ada yang tidak lakukan kerana takut kehilangan kasih suami, ada yang suami menghalang kerana tidak mahu isteri dirobek tubuh badannya. Ada yang merasakan diri bukan wanita yang sejati dan macam-macam lagi bisikan-bisikan yang datang dari golongan manusia dan jin. Anggota itu bukan milik kita , ia hanya perhiasan dan pinjaman dari Allah. Adakah kita masih mahu memulangkan pinjaman yang telah rosak pada Allah.


Sahabat ku, yang kita cari adalah kasih dan rahmah Allah, gantikan anggota yang rosak itu dengan jiwa dan keimanan yang hebat penyerahan pada Allah yang empunya segalanNya. Pastinya Allah jua tidak gembira kepulangan kita dengan keadaan yang sebegitu.


Pada pandangan saya kalau masih ada peluang untuk melakukan mastektomi lakukanlah. Walaupun "relap" atau ulangan serangan mungkin akan datang yang kita tidak tau bila, dan kita mungkin tidak sembuh sepenuhnya, namun adalah lebih baik kita menghadapi sangat kepulangan kepada Allah dalam keadaan yang lebih baik.


Kanser yang dibiarkan dipayu dara akan menyebabkan kudis yang bukan calang-calang buruknya dan tidak tertanggung baunya. Tidak perlulah kita menambah siksa atau kita menambah ujian kasih dan kesabaran ahli keluarga yang akan ditinggalkan semasa menguruskan kita dalam keadaan yang busuk dan hanyir akibat kudis kanser payu dara itu.


Sayangi dan kesihanilah mereka kaum kerabat kita. Keadaan diri kita yang sebegitu mungkin juga akan menambah sedihnya diri sendiri.


Pada pandangan saya adalah lebih baik kita usahakan kualiti sangat akhir kita itu supaya lebih nyaman dan damai umpama lembanyung senja yang menjanjikan episod malam yang indah. Supaya kita lebih dapat meninggalkan kenangan indah untuk suami , anak2 , ahli keluarga dan sahabat handai yang akan memberi kekuatan kepada mereka kala diuji. Dengan harapan Allah juga menerima segala usaha kita itu dan menyambut kepulangan kita kehadratNya bersama para malaikat seperti menyambut syuhada' di medan jihad.


Salam


Rosliya



Rabu, 16 September 2009

MANA MILIK KITA ?



Bapa....semoga Allah mengampun kan mu dan meletakkan mu di taman syurganya. Walau namamu sentiasa berganding dengan nama puteri mu ini, namun kau jua bukan milik ku...
Emak...kau yang mengandung dan melahirkan ku. Namamu disebut bila aku ditalqinkan...kau jua bukan milik ku...semoga Allah mengampunkan mu, memudahkan mu dan mengangkat darjat mu. Semoga emak dan bapa berbangga dengan kami didunia dan akhirat. Tidak terbalas budi dan pengorbanan mu pada kami.


Anggota badan ku....bersama ku ketika ku dilahirkan ...tiada satu antara kamu milik ku... kamu hanya pinjaman.


Ya Allah , aku milik mu...dan aku tak punya apa melainkan aku mengaku engkaunya Allah sebagai tuhan ku satu-satunya yang ku sembah.
Ku mohon keampunanmu akan segala kesilapan ku. Ku mohon syurgamu, walau ku sedar amat sedikit kepatuhan ku berbanding rahmat mu.


Aku termalu sendiri akan kelalaian diri ...di kesempatan ramadhan yang mulia ini kau kurniakanpada ku redha dan keampunan mu...................jannahmu dan aku beroleh kebahgiaan dapat bersama ahli keluarga disyurga bersama kekasih mu dan dapat melihat wajahmu ...Ya Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..ameen




Ahad, 19 April 2009

Sakit : Salah Satu Tanda Kasih Sayang Allah

Penyakit yang Allah beri kepada kita umpama deringan loceng ingatan Allah pada kita bahawa ada sesuatu yang perlu dibaiki dalam baki kehidupan yang ada.

Adalah bijak kita melihat penyakit yang kita hidapi mauapun apa juga yang kita alami ini dengan fikiran positif. Dengan berpemikiran positif dalam mengurus dan menyelesaikan sesuatu
membuka banyak pintu pintu penyelesaian yang positif juga. Pemikiran yang positif amat membantu dalam penyembuhan.
Bersangka baiklah dengan Allah. Apa yang diberi Allah kepada kita sebagai peringatan untuk kita jadi lebih hebat lagi disisinya dengan meningkatkan fungsi sebagai khalifah fil ard , pengurus dibumi. Adalah bijak untuk kita jadikannya satu fasa untuk menilai diri secara seimbang di sudut emosi,minda,fizikal dan rohani.
Sejauhmana kita mengurus emosi kita mengikut syariat yang di ajarkan Ar Rasul?
Sejauhmana kita mengurus minda kita mengikut syariat yang di ajarkan Ar Rasul?
Begitu juga dengan fizikal dan rohani kita. Pastinya kita akan menemui banyak lagi pencapaian kita yang boleh kita tingkatkan.
Contohnya dalam amalan tiang agama kita iaitu solah. Berapa kita beri markah pada mutu solat kita dalam skala 1-10? Kita solat dengan penuh rindu dengan Allah? Di awal waktu? Berjemaah? Faham makna bacaan? Mengetahui semua hukum dalam solat? Ayat-ayat yang kita baca masih anatar 3 Qul walau kita dah baligh 10 tahun yang lalu, tak tau mana lak tu?
Setelah sedar pencapaian solat kita sebelum kita didiagnos, kita buat perancangan yang mampu kita lakukan dengan peningkatan yang berdikit dikit dan pastikan ia berterusan meningkat.
Lakukan yang sama pada sektor lain dalam kehidupan seharian kita.
Bila kita melakukan ini umpama kita membaiki akar pokok kehidupan kita. Akar ini berkembang dengan subur. Hasilnya kita akan dapat rasa kehidupan ini lebih bermakna dan kita akan berasa lebih bersedia untuk menemui Allah. Pohon kehidupan kita akan lebih subur dan sihat mengikut tuntutan syariat yang Allah turun dalam Al Qur an dan Ar Rasul Nabi Muhammad s.a.w.
Selamat Mencuba

Selasa, 7 April 2009

Bersantai Sebahgian Dari Rawatan

Masing-masing kita menghadapi cabaran yang pelbagai. Bersantai bersama keluarga dan rakan amat membantu dalam penyembuhan dari ketegangan emosi lebih-lebih lagi dalam cubaan yang menggugat jiwa.

Bersendiri bersama Allah pula banyak melegakan ketegangan yang tidak terkongsi dengan keluarga dan rakan. Banyakkan istigfar dan taubat. Banyakkan berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w. Satu kaedah yang sangat cepat dalam melegakan kesedihan. Hadiahkan bacaan Surah Al Ikhlas pada diri sendiri dan mereka sekeliling, semoga kita tabah dan kuat menghadapi apa jua cabaran, dan mereka jua. Ketabahan dan kedamaian mereka sekeliling kita amat penting dalam membantu ketabahan dan kedamaian kita.

Yakin lah hanya Allah yang dapat membantu kita. Bantulah diri kita untuk dibantu Allah dengan mematuhi perintahnya dan perkara sunat. Berlumba-lumbalah mendapat pertolongan Allah

Ahad, 5 April 2009

Cabaran , Kehidupan dan Kelahiran

Kehidupan itu adalah rangkaian cabaran. Berjaya atau gagal menghadapinya adalah sejauh mana kita mampu menghadapi dan bertindak dengan bijak mengikut syariat dikala perkara itu berlaku. Setiap detik waktu dan langkah penuh pembelajaran. umpama bayi yang mula mengenal dengan sentuhan.

Setiap kali kita mengahadapi cabaran samada suka atau duka , ia seumpama kelahiran seorang bayi. Kita akan membesar atau matang dengan cabaran itu seperti seorang bayi melalui hari-hari yang penuh erti dalam kehidupannya. Kita mula bertatih hidup dalam cabaran itu, mengangis kedukaan atau berlari-lari kegembiraan. Disana sudah pasti ada ibu bapa dan kaum keluarga yang membantu, jika tiada manusia bersama kita pasti alam yang penuh dengan Ayat-ayat Cinta Allah sentiasa bersama.

Jika kita pantas menghadapi cabaran itu dengan bijak mengikut syariat, kita adalah seorang hamba Allah yang dewasa dengan cabaran itu. Kedewasaan itu harus dikembangkan dengan berkongsi pengajaran yang diambil dari cabaran itu dengan masyarakat. Sudah pasti diluar sana ada manusia lain yang Allah uji untuk menambah pengalamannya dan meningkatkan keimanannya seperti mana Allah menguji kita untuk menghapus dosa, meningkat pahala dan menaikkan darjat disisinya.

Selasa, 31 Mac 2009

Labaikaullah humma labaik


Banyak perubahan pada fizikal badan penulis ini. Banyakjuga perubahan pada kota Mekah Al Mukarramah di sudut prasarana dan peraturan hatta di Masjidil Haram sendiri. Berbeza dengan 5 tahun dulu, ruang solat telah ditambah dan ada yang masih dalam pembinaan. tempat sa'ei juga sudah bertingkat dan semakin luas. Dulu tidak dibenarkan ambil gambar. Sekarang boleh sahaja. Cuma terkadang kala ada juga makcik-makcik yang memegang pandangan yang rigid sekali sekala melarang.

Yang lebih penting perubahan kepada penulis adalah yang menghampirkan diri pada Allah disudut emosi, fizikal, minda, rohani dan kehidupan.

Umat Islam serata dunia berpusu-pusu mengerjakan segala ibadah berkaitan di Mekah walau bukan musim haji. Waktu saya di Mekah 16-27 Mac masih dalam visa ziarah. Tapi keadaannya tak jauh beza dengan musim haji. Tawaf ketat juga, tapi sa'ie memang terlebih ketat macam musim haji. Begitu juga keadaannya bila berjalan pulang selepas solat waktu. SubhanaAllah, besar sungguh kuasa Allah menjadikan umat manusia sangat cinta pada bumi ini.

Tapi begitu ramai kita masih juga kita belum kuat mengalahkan kuasa zionist dan kekufuran hatta sesama umat Islam belum bersatu dengan padu.

Dalam usia menjangkau 45 tahun ini terasa juga penat dan sakit-sakit badan dalam beribadah. Tapi bila lihat ada lagi penziarah yang lebih berusia hatta yang bertongkat dan bongkok tiga pun begitu bersungguh beramal , naik balik kekuatan untuk meneruskan ibadah.

Alhamdulillah, memang benar Allah akan menjaga agamanya, dan lembah ini akan terus menjadi tumpuan umat manusia seperti dalam doa Nabi Ibrahim.

Semoga Allah menggantikan sesuatu yang luput dari diri ini dengan sesuatu yang lebih baik dari itu. Amat sedikitlah pujian yang ku panjatkan pada mu Ya Allah berbanding nikmat yang telah engkau berikan.

Hambamu ini amat mengharap keampunan dan beroleh kejayaan dengan syurga dan dapat nikmat melihat wajahmu Ya Allah tuhan yang empunya rumah yang tua ini.

Madinatun Nabi , The place that I love to go


Alhamdulillah, 16-27 Mac yang baru lalu , Susilawati Hamzah dan keluarga telah sudi menumpangkan saya untuk menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W dan buat Umrah dan ziarah. Rombongan kami ada 12 orang. Terharu betul malam tu bila selamat mendarat di kota Jeddah tempat Nenda Hawa dikebumikan. Air mata menitik sepanjang jalan 5 jam menuju Madinah. Terasa lain berada dibumi Anbiya'. Teringat pelbagai masalah dan dugaan yang ditinggalkan di tanahair. Berdoa bersungguh supaya semuanya selesai dan terurus dengan baik.

Kali terakhir menjejak kaki di Madinah adalah 5 tahun yang lalu , 6 bulan selepas buat mastektomi. Kali ini pula 9 bulan selepas buat Total Histerektomi. Mohon umrah dan ziarah ini dapat menguat semangat dan membersih jiwa.

Terasa damai menjejaki tetapak para sahabat Ansor dan Muhajirin disekitar Masjid Nabawi 1430 tahun yang lalu.

Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan

Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan
Lima tahun yang lalu saya Allah pilih untuk menerima ujian dengan didiagnos mengidap kanser payudara. Alhamdulillah proses rawatan berjalan lancar. Insiden itu telah merubah saya ketahap yang lebih baik dari segi iman, amal malah kehidupan saya keseluruhannya. Sekiranya anda ingin sokongan moral dalam menghadapi kanser bolehlah menghubungi saya di rosliya@pusrawi.com.my. atau 019-7579928 Salam