Ahad, 18 September 2022

Berinteraksi Dengan Al Quran Tanda Cinta Dan Rindu

Wahai diriku yang melalaikan Al Quran .

Maka baiki hubungan cinta dan rindu mu kepada Allah , tuhan yang Allah menurunkan Al Quran.

Bagaimana ?

1.Wahai diri mulakan dengan engkau membaca Al Quran dengan maknanya berserta makna prakata.

Insyaallah engkau akan dapat tahu makna ayat itu serta kita melatih dirimu dengan makna setiap perkataan. 

2. Wahai diri, perhatikan makna ayat itu . Apakah peringatan Allah kepada mu? Andai makna ayat merujuk sifat orang munafik, maka engkau perlu perhatikan dirimu, adakah engkau jua mempunyai sifat sebegitu. Sekiranya ya (moga Allah lindungi)....maka baikinya dengan sifat yang mulia supaya engkau tidak lagi mempunyai sifat keji itu. Sekiranya engkau sudah mempunyai sifat mulia itu, maka pertingkatkan usaha mu , sifat mulia mu itu menghampiri mutu sifat mulia Ar Rasul.

3. Wahai diri, berdoalah muga engkau dilindungi Allah sebaik baik pelindung dari perkara keji yang sering Allah ingatkan dalam Al Quran supaya engkau jauhi dan engkau terhindar dari kejahatan itu.

Wahai diri, berdoalah supaya engkau sentiada beroleh kebaikan yang disebut dalam Al Quran setiap kali engkau bertemu dengannya. Amin. Berdoalah menggunakan doa yang Allah telah rakamkan dalam Al Quran .

4. Semak skala cinta dan rindu mu pada Allah hasil interaksi mu dengan Al Quran.

Wahai diri, muga engkau menjadi ahli Al Quran dan ahli Jannah dan ditambah kebaikan oleh Allah dengan dapat melihat wajah Allah di syurga. Amin




Selasa, 6 September 2022

Al Maidah 5 : 118 ms 127

 Full Set


Fasa Allah

Fasa Ibadah

Fasa Sirath @ Kehidupan

الماءدة ٥: ١١٨

 Al Maidah 5: 118 ms 127


ءان تعذبهم  فاءنهم عبادك،

وان تغفرلهم 

فاءنك انت العزيز الحكيم


Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba hamba Mu,

Dan jika Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Maha Bijaksana


Tadabbur:

بسم الله الرحمن الرحيم

Pernyataan Allah dalam dalam ayat ini kepada saya adalah :

Jika Engkau (Allah )mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba hamba Mu

Dan jika Engkau (Allah) mengampunkan mereka,

Sesungguhnya Engkau (Allah) Maha Perkasa Maha Bijaksana


Tazakkur.

AP 1. Peringatan: Berdasarkan dari tadabbur ayat pilihan. 


INGAT.. (Rosliya)


Jika Allah mahu mengazab , sesungguhnya yang di azab itu adalah hamb…

Ahad, 8 Mei 2022


  Mohon perlindungan kepada Allah yang menguasai waktu Subuh dari kejahatan manusia dan kejahatan kegelapan malam


Mukadddimah surah mengikut ulamak dalam Pimpinan Ar Rahman. Mengikut pandangan Qotadah , ayat Madaniah. Namun jumhur ulamak kata ia turun di Mekah, berdasarkan riwayat Abdullah ibnu Abbas.

Surah dimanakan surah al falaq ( sekelian makhluk). Ar Rasul s.a.w  juga menamakan ayat ini dengan nama ayat yang pertama , Qul a'u zubil falaq. Salah satu dari ayat perlindungan. Al ikhlas , ayat memantap aqidah, murnikan keimanan kepada Allah. Melepaskan diri dari syirik.

Dalam tafsir Ibnu Kathir ada hadis menyebutkan bahawa Ar Rasul s.a.w meniupkan tangan tangan, kemudian baca tiga surah ini kepada tangan dan sapukan ayat ini kepadanya Nabi pernah sakit.pada diri dan pada keluarga yang sakit. Begitu juga pada ketika pada ketika hendak tidur.

Ayat ini dijanjikan Allah sebagai ayat pelindungan dan pelepas dari sihir dari kisah Ar Rasul disihir oleh Yahudi bernama 'Labid bin al A'sham di Madinah.

Pelajaran dari ayat.

Ayat ini Allah mulakan dengan perkataan "Qul". Ada lima surah yang Allah mulakan dengan "Qul" dimulai dengan Surah Jin.

Allah arah Nabi Muhammad untuk memohon pelindung dengan Allah Yang Maha Kuasa yang Maha memberi perlindungan.

a. baca al quran , a'zubillahi minas syaitonirrojim. Untuk mulakan baca kalam Allah.

b. perlindungan dari kejahatan makhluk, baca tiga ayat pelindung.


Aku mohon perlindungan dengan Allah yang mencipta waktu Subuh dan segala sesuatu yang terbelah dan sekelian makhluk. Sesiapa yang dalam kesedihan, kesusahan dan kesempitan digalakkan untuk mengamalkan ayat ayat ini dengan keimanan pertolongan dan sadaran itu hanya dari  Allah Yang Maha Berkuasa.

Aku memohon perlindungan dengan Allah dari bahaya gelap apabila ia masuk. Ingatan bahawa waktu Isyak adalah dari habis Maghrib sehingga tengah malam. Kejahatan malam selepas separuh malam , malam yang gelap. Penjahat dan ahli sihir aktif selepas baik masuk gelap iaitu masuk maghrib. Walaubagaimanapun malam juga adalah untuk beribadah dengan Allah, bermunajat dan seumpanya.

Dari kejahatan makhluk apabila meniup . Dan dari kejahatan apabila orang dengki dan hasad apabila ia dengki. Hasad dan dengki adalah perasaan kita mahu nikmat itu kita mahukan hilang dari orang lain.

Amaran, orang jahat akan menzahirkan penyakit hatinya....semak diri kita. Kawan cerca kawan lain adalah tanda hasad. 

Kesimpulan

Allah arah untuk makhluknya nerlindung denganNya dari kejahatan yang ada:

a. Kejahatan makhluk yang bahaya adalah bila gelap malam. Aktif ketika malam

b. Kejahatan dari makhluk yang jahat iaitu ahli sihir

c. Kejahatan manusia sendiri, iaitu hasad.


Rabu, 4 Mei 2022

Surah 114: an Nas


Surah ini yang masyhur dinamakan sebagai Surah  An Nas, Surah Manusia . Nama ini disebabkan kerana pada awal surah ini Nabi Muhammad s.a.w diperintahkan untuk memohon perlindungan kepada Allah Subhanallahu Taala pemelihara setiap manusia.

Surah sebelum ini adalah surah yang al Falaq. Sangat berkait dengan surah An Nas yang sedang kita bincangkan. Kedua dua surah ini menyebut berkaitan kejahatan manusia. Maka kita menerima nasihat terbaik dari tuan manusia iaitu Allah Subhanallahu Taala , pencipta manusia. Nabi menamakannya sebagai Surah An Nas , mengambil dari ayat yang pertama. Surah ini adalah salah satu dari tiga surah pelindung iaitu Surah An Nas, Surah Al Falaq dan Surah Al Ikhlas. Insyaallah dengan mengamalkan membaca surah pelindung ini, insyaallah kita selamat.

Surah An Nas mempunyai enam ayat. Pandangan kuat mengatakan surah ini turun di Mekah, surah Makiyyah iaitu pendapat yang rojih dari sahabat Abdullah ibnu Abbas r.a. Pendapat yang kata ayat turun di Madinah kerana ketika di Madinah sejarah Nabi Muhammad disihir oleh Yahudi, malaikat turun baca surah ini untuk menghilangkan sihir tersebut.

Intisari Surah An Nas ini Allah mengarahkan kita mohon perlindungan bahaya batin kepada Allah dengan tiga nama Allah iaitu Tuhan Manusia, Raja Manusia dan Sembahan Manusia daripada satu perkara yang besar iaitu bahaya kejahatan penyakit yang batin. Ada dua dimensi kejahatan penyakit batin iaitu melalui penyakit shahwat dan penyakit syubahat . Kedua penyakit batin ini menganggu minda dan jiwa manusia. Penyakit shahwat melibatkan segala keinginan yang salah atau yang melampau kepada kehidupan dunia. Penyakit syubahat pula melibatkan perkara keraguan dalam pemikiran dan keimanan kepada Allah. Contohnya adalah seperti orang munafik . Mereka mengaku beriman dimulut namun dalam pemikiran mereka menolak keimanan tersebut. Sehingga wujudlah keraguan kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan timbullah gerakan sekular, gerakan mengutaman akal dari wahyu (muktazilah), anti hadis , golongan liberal dan seumpamanya. Juga ingatan buruk angkara gangguan makhluk yang tidak kelihatan oleh manusia iaitu syaitan dan jin. Termasuk angkara kejahatan makhluk yang boleh dilihat iaitu manusia yang jahat . Perasaan dan pemikiran buruk itu merosakkan iktiqad dan kepercayaan , juga amal ibadat dan bawaannya.

Perbincangan ayat.

Ayat 1-3.

Allah perintah Ar Rasul mohon perlindungan dengan tiga nama Allah dari kejahatan syaitan untuk melawan penyakit batin , hasil hasutan syaitan bila manusia lalai dari mengingati Allah dan balasan Allah . Oleh kerana ulamak mengatakan iman akan naik turun mengikut ingatan kita pada Allah. Syaitan tidak akan masuk melalui jalan larangan dalam agama. Tetapi syaitan akan masuk melalui penyakit hati, seperti lorong penyakit hati , was was, ujub, riak, hasad dan seumpanya.

Ketuanan dan ketuhanan Allah telah dinyatakan oleh Allah sendiri dalam ayat ini yang berhak manusia mohon perlindungan. Allah menyebutkan sifat kekuasaannya Raja Manusia, Tuhan Manusia , Sembahan Manusia sebagai tempat yang layak sebagai tempat pemohonan hambanya.

Kalimah manusia An Nas diulang sebanyak lima kali dalam surah ini menunjukkan kepada ketinggian kehebatan manusia dan kedudukan petunjuk ini kepada manusia. Allah seru manusia seluruhnya kepada keimanan. Pada tahap bila manusia telah beriman , Allah seru pula dengan panggilan wahai orang beriman kerana Allah ingin memberikan arahannya undang-undangnya. Keadaan ini adalah kerana hanya manusia yang beriman sahaja yang akan taat pada Allah dan suruhanNya.

Was was iaitu keraguan itu adalah lintasan hati. Maka bila ia berlaku was was Ar Rasul s.a.w mengajarkan untuk kita membaca ta'awuz. Syaitan umpama anjing. Kalau kita tidak layan dia dengan cara baca ta'awuz dan tidak melayan gangguan dan lintasan dari syaitan itu maka gangguan itu akan berlalu.

Sudur = dada...lapang dada. Medan was was dalam dada.

Qulbu= hati...tenang hati

Syaitan berada dalam manusia dalam salur darah. Bila manusia puasa, syaitan akan lemah.

Siapa penghasut bisikan was was ? Mereka terdiri dari manusia dan jin yang dipengaruhi oleh syaitan. Iblis adalah dari kalangan jin iaitu dari api. Syaitan pula adalah sifat golongan yang derhaka dari golongan jin dan manusia. Syaitan ada tiga kategori. Katogori iblis , jin kafir dan manusia kafir.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan bahawa Surah Al Falaq dan Surah An Nas adalah bacaan tiada tolok bandingan untuk mohon perlindungan dari segala bahaya gangguan syaitan. Dan bacalah surah tiga Qul  , tiga kali pagi dan petang supaya selamat dari mara bahaya dari gangguan syaitan.

Allahu a'lam


Rujukan : Kuliah Abu Anas Madani







Rabu, 16 Oktober 2013

Senyum dan Sedekah


Senyum adalah sebahgian dari sedekah. Ia tidak memerlukan wang. Tidak memerlukan tenaga yang banyak. Malah satu sunnah Ar Rasul.

Ia juga sebahgian dari penawar bagi diri yang menerima senyuman. Maka para penziarah sahabat yang sedang sakit  dan menerima rawatan datangi mereka dengan muka yang manis dan senyuman.

Senyuman juga sebahgian dari terapi bagi yang sedang diuji dan sedang menerima rawatan hatta bagi yang masih dalam fasa diagnosis.

Senyum harus lakukannya dengan sedar. Sekiranya tidak,  yang akan terzahir adalah apa yang diminda separa sedar......terlukis di wajah kita kegusaran, kemarahan, kebencian , kesedihan, kebodohan dan segala macam perasaan yang tidak membina iman.

Oleh itu kita harus usahakan senyum dengan sedar. Bila kita senyum badan akan mengeluarkan bahan kimia endorphine yang bagus untuk kesihatan badan.

Tutup pintu masuk syaitan ke jiwa dengan memperbanyakkan bertaawuf dan beristigfar.

Ungkapan positif juga boleh membantu dalam meningkatkan tahap perawatan dalam senyuman kita.  Antara ungkapan yang boleh kita bisikkan pada diri adalah :

a.  "Aku senyum kerana bersyukur kepada Allah menjadikan ku antara hamba yang   diuji . Maka dengan ujian ini ia menghampirkan diriku kepadanya, Allah."

b. "Aku senyum kerana bersyukur Allah membantuku untuk mengerti erti kesabaran".

c. " Aku senyum kerana bersyukur Allah menyedarkanku bahwa berkata kasar itu sebahgian dari akhlak yang keji, lalu ku ikuti kesilapanku dengan senyum untuk menghapuskan dosa."

dan seumpamanya.

Salam senyum kesabaran dan kesyukuran









Ahad, 3 Mac 2013

Masa Dan Kehidupan

Semakin berlalu masa semakin bertambah usia dan semakin hampir kita kepada perjanjian dengan Allah. Masa yang baki makin berkurang setiap hari. Realiti ini tidak mengira manusia itu kaya miskin atau tua muda sama ada yang berpenyakit atau yang sihat.
Maka kita harus berusaha supaya  setiap saat yang dilalui penuh makna disisi Allah dan kita tenang. Jadi tidak perlulah kita berduka nestapa dengan apa jua situasi yang dilalui. Kita harus bijak melalui baki kehidupan didunia ini untuk kehidupan yang kekal diakhirat nanti. Terima seadanya selagi mana ia perkara harus. Bertolak ansur itu tindakan orang yang bijaksana. Dalam banyak keadaan Allah beri situasi yang kita tidak selesa. Percayalah dalam banyak situasi yang tidak selesa itu banyak kebaikan yang Allah mendidik kita.....

Sebaik-baik manusia adalah orang yang beriman dan berakhlak mulia pada Allah dan makhluk Allah yang lain. Terkadang kala kita bias pada Allah. Kita lebih menjaga adab dengan manusia berbanding menjaga adab dan tuntutan Allah.

Ingatan ini untuk diri yang menulis coretan rasa dan para pembaca yang dikasihi




















Selasa, 7 Jun 2011

Mencegah Dan Berubat Itu Ibadah


Sudah lama aku tidak menulis di sini. Ramai kawan kenalan baru yang di uji dengan penyakit kanser. Ramai rakan yang sihat semula. Ramai sahabat yang sedang berusaha. Ramai juga kawan-kawan yang telah pulang ke rahmatullah. InsyaAllah aku akan menyusul.

Akhir Februari aku terpilih menziarahi Makam Nabi Muhammad s.a.w. Kenangan manis di bumi suci amat indah. Aku sempat berkata kepada ibuku sebulan yang lalu " Mak , Liya nak meninggal di Madinah. Boleh dikuburkan bersama para sahabat di perkuburan Baqi', ramai orang datang ziarah dan doakan kita. Liya dikuburkan bersama para sahabat. InsyaAllah, Amin."

Di Madinah, aku dapat hadiah sangat berharga iaitu bermunajat dengan aman di raudhah. Raudhah tenang dan lapang. Suasana seperti menziarahi rumah sahabat handai. Aku boleh solat tanpa risau jemaah lain menunggu. Aku bebas keluar masuk raudhah tanpa dilarang oleh petugas. Moga Allah mudahkan aku masuk ke Jannahnya dengan mudah. Amin. Inilah pertama kali aku dapat nikmat yang begitu indah walau ia bukan ziarah aku yang pertama. Mungkin kerana kami antara kumpulan jemaah yang awal sampai di Madinah untuk ziarah tahun ini. Mungkin juga sebab waktu aku pergi itu waktu malam. Ramai jemaah lain sudah pulang berihat.

Semalam aku menerima email dari seorang sahabat yang keluarga sedang diuji dengan kanser yang berulang. Aku kongsikan sebahgian email itu pada semua. Moga ada manafaatnya.


Assalamualaikum,

Salam perkenalan.

Puan,

Saintis memang melakukan banyak penyelidikan untk pemyakit kanser. Saya yakin doktor sedang dan akan terus memberi yang terbaik kepada anak saudara puan. Pakar Onkologi dan Pakar Darah adalah yang terbaik untuk dirujuk kerana itu bidang mereka dan mereka amat faham bidang itu berbanding kita orang biasa.

Nabi ada berkata, "Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati."


Seseorang yang sakit lalu meninggal, meninggalnya itu bukan kerana penyakit tetapi telah ketentuan sampai ajalnya.

Oleh itu , setiap manusia wajib hidup dalam syariah, harus melakukan pencegahan penyakit. Sekiranya sakit , kena berusaha mencari ubat selagi mana mengikut syariat. Kalau ada 100 cara, usahakan 100 cara itu.

Insyaallah , Allah beri ganjaran pahala akan kesabaran dan usaha.

Walaubagaimanapun, hak penyembuhan itu pada Allah.

Mohonlah yang terbaik bagi kita dari Allah. Sekiranya kita sembuh, itulah yang terbaik untuk kita. Gunakan peluang kesembuhan dan kesihatan yang diberi itu untuk menjadi manusia yang lebih bermanafaat pada agama.


Sekiranya kita belum sembuh itulah yang terbaik untuk kita ketika itu. Allah suka mendengar curahan keimanan dari kita. Allah buka ruang pahala dan keampunan pada kita. Amat beruntung jika kita mampu memanafaatkannya.

Sekiranya kita meninggal dalam berusaha, itulah yang terbaik untuk kita. Semoga Allah terima segala amal. Semoga Allah redha dengan kita.

Kami sukarelawan insyaallah akan cuba memberikan sokongan disudut rohani dan minda. Keimanan dan kekuatan minda adalah antara faktor yang membantu perawatan
.


2 Jun lalu genap 8 tahun aku diberi kesihatan semula oleh Allah. Bagaimana prestasi sebagai khalifah fil ard ? Eemmmm.........macam yoyo je!. Ok ...get to go to restrategise.

Illal liqoq. Ma 'a salama


Ahad, 30 Mei 2010

HATI-HATI JAGA HATI

Alhamdulillah semalam aku berpeluang bersama rakan berbilang bangsa dan agama bersama berkumpul di program tahunan bekas pesakit kanser untuk diri sendiri , rakan seperjuangan dan keluarga. Program itu seperti reunion. Masing-masing mengingat kenangan lalu suka duka dalam melalui proses rawatan. Ramai juga muka baru. Kami umpama keluarga besar, saling mengerat siratulrahmi. Ramai yang datang memberi sokongan dari kalangan keluarga dan rakan. Satu keunikan tahun ini adalah hujan yang mencurah 3 batch. Ramai berdoa, mohon sangat hujan berhenti jam

Namun ramai juga yang sudah tidak bersama. Mereka mendahului kami kembali kepada ALlah yang empunya diri dan seisi alam.

Satu keunikan tahun ini adalah hujan yang turun 3 batch. Ramai yang berdoa, mohon hujan berhenti jam 6 supaya program boleh diteruskan. Alhamdulillah, permohonan dimakbulkan.

Ha ha ha kami berjalan beramai-ramai dipadang tu macam membajak. Teringan kenangan masa perbarisan sukan zaman sekolah rendah. Kawan-kawan sekarang baik-baik. Kalau dulu ada yang rajin kutip cacing tanah dan baling pada budak pompuan.

Fun and nostalgic.

Pun begitu masih kuat difikiran ku rakan-rakan yang terguris hatinya ketika mendapat rawatan pertama dengan doktor. Maklum saja datang dah lewat. Saiz lekukan mungkin dah besar, saiz bonjolan mungkin dah sebesar bola ping pong, mungkin dah berkudis pun. " Kalau awak tak rawat benda ni boleh bawa maut". Atau "Bedah ke tak bedah ke dia dah merebak. Keadaan awak ni dah teruk". Ramai kawan-kawan yang merajuk dengan doktor ni dan dah tak mau jumpa doktor lain. Mereka selalunya lari berjumpa bomoh atau orang yang pandai mengubat. Mereka lebih rasa di empati oleh golongan ini.

Wahai kawan-kawan, hati-hati jaga hati. Kebiasaannya kita terlebih sensitif . Sandarkan sensetif itu pada hadis nabi dan ayat Al Qur' an juga ilmu tentang penyakit ini. Elak bersandar dengan emosi dan kejahilan.

Maafkan lah para doktor ini, sekiranya kita rasa mereka sepatutnya tidak berkata-kata sebegitu. Mereka tidak bermaksud melukakan atau merendahkan kita. Malah mereka ingin menerangkan keadaan sebenar dan mahu kita kuat dan bersedia. Kita yang sepatutnya lebih terbuka dan tenang menilai maklumat yang disampaikan supaya kita dapat membuat pilihan rawatan yang terbaik untuk kita.

Pertolongan Allah sebenarnya sentiasa bersama kita. Dalam banyak keadaan kita selalu silap mengambil pilihan rawatan kerana keputusan kita itu bersandarkan emosi semata. Emosi ini dapat diteguhkan dengan iman yang benar pada Allah. Walau iman itu ada pasang dan surut seperti air laut, menjadi tugas kita untuk meningkatkannya dengan amal wajib dan sunnat. Moga walau iman itu surut , tapi tidak sampai ia meninggalkan pantai.

Khamis, 25 Mac 2010

Peluang Untuk "Early Stage Invasive" Kanser Payudara


Lewat petang semalam aku menerima panggilan dari seorang sahabat. "Liya , check email. Kindly respond to help person involve". Mula-mula aku agak keberatan sebab baru sahaja selesai mesyuarat di pejabat yang memenatkan. Bila ku buka NN, aku terpanggil untuk respond. Ku kongsikan email ku kepada yang bertanya kepada semua semoga boleh membantu.
Akhie Azmi.

Terima kasih kerana perpanjangkan ruang untuk beramal

Khabarkan khabar gembira pada sahabat anta, Alhamdulillah early stage. Allah ingin naikkan darjat seluruh ahli keluarga ini.

Invasive tu makna telah ada perubahan pada susunan sel yang terlibat . InsyaAllah peluang besar untuk sembuh. Sembuh sepenuhnya tu Allah yang punya. Tiada pakar yang berani menyatakan perkara tersebut.

Allah akan bertindak dengan apa yang kamu sangka atasnya. Maka, redha, usaha dan bersangka yang baik dan yakinlah dengan Allah.

Kebarangkalian tumbuh lagi ada sebab badan pesakit memang seperti ladang yang subur untuk sel kanser tumbuh. tapi nipis kalau early state . 95- 99% tiada serangan semula dalam 5 tahun bagi stage 1. Alhamdulillah saya pun stage 1 , early stage invasive juga dulu, dan masih sihat selepas 7 tahun.

Usaha membasmi kena diteruskan dan ditingkatkan lebih kuat berbanding sebelum ini dan orang lain yang tidak pernah dapat kanser. Punca kanser ini pelbagai. Minda kena sentiasa positif. Sentiasa maafkan diri dan mereka yang disekeliling kita.

Guna semua kaedah perubatan yang dibenarkan oleh Islam. Kalau ada 10 kaedah guna semua kaedah. dari alophaty, rukiyyah, perubatan ikut sunnah nabi, perubatan herba, perubatan naturophaty. Amal ayat khas untuk elak dan sembuhkan kanser, baiki ibadah dan kehidupan. Jadikan solat, sedekah, zikr dan al qur'an dan doa sebagai penolong dan penyembuh. Saya kepilkan doa utk diamalkan. Mohon print dan beri salinan pada puan yang terlibat.

Sampaikan salam saya pada Al Ayubi yang baru ini. Saya mohon no. hp pesakit ini untuk saya berkenalan dan membantu dimana yang boleh. Sesungguhnya seluruh ahli keluarga ini sedang di uji dan mereka perlukan sokongan.

Salam
Rosliya
019-757 9928
rosliya@pusrawi.com.my
rosliya.blogspots.com

Rabu, 24 Februari 2010

Panas...Panas...Panas....Eh! tak lah pasas sangat.

Kebelakangan ini suhu di Malaysia agak panas. Setengah tempat mencapai 34 Celsius. Cahaya mahatari pula menyengit sekali. Alhamdulillah, hujan perolakan yang turun sekali sekali dapat juga membantu menyejukkan bumi.

Ada dua tiga kawan baru didiagnos. Mereka , ada yang tabah dan ada yang macam aku dulu gak, libang libung perasaannya. Kejap ok, kejap mengalir-ngalir air mata. Tapi depan orang kita Control Comei..he he he...aku lepas mc 2 bulan tiba-tiba rasa sedih sangat bila kawan-kawan ada 2 orang yang dah tunggu hari.....wa nangis hampir 20 jam jugak you. Sampai wa minta masuk wad. Takut tak boleh kawal .Kurang-kurang di wad ada nurse monitor. Empangan pecah.

Alhamdulillah , kanser ku dapat dikesan awal. Aku pilih rawatan yang pada pandangan ku tidak akan memeningkan kepala ku dan kepala ahli keluarga. Rawatan yang lebih memudahkan semua pihak.

Biasala bila kami citer-citer dengan geng-geng ni, macam-macam anologi yang boleh digunakan sepanjang rawatan. Dari pandangan ku kebanyakkan ngeri dengan pengalaman yang akan dilalui dengan kemo. Tidak kurang yang melalui memang mengerikan. Peningnya, muntah hijaunya, letihnya dan berbagai-bagai. Tapi ada juga yang kata tidaklah teruk sangat. Ada gak yang tak muntah....pelbagai pengalamannya.

Yang pasti, mereka yang meletakkan kerangka pemikiran positif mengalami kesan yang lebih ringan berbanding yang ada keraguan dihati. Ada yang kata macam mabuk pengandung . Macam-macam, ada yang ok , mabuk sikit dan mabuk banyak. Tapi tiada lah dilaporkan mati sebab mabuk mengandung. Macam tu gak kemo, belum ada yang dilaporkan mati sebab kesan sampingan kemo. Tapi sebab rawatan tidak berjaya tu ada.

Kalau orang mabuk mengandung , hilang kedukaan dengan lahirnya bayi. Yang mabuk sebab kemo mungkin boleh gembirakan diri dengan kanser kita dapat dirawat.

Dalam banyak-banyak petua yang dikongsi, petua yang paling kuat adalah :

a. Baiki amal peribadi yang wajib, yang sunat dan seumpamanya
b. Amalkan pemakanan sunnah, makan kurma, halba hitam, madu , minum air zam-zam , air yang di ayatkan dan seumpanya
c. Berfikiran positif dan guna " Law of Attraction"
d. Nikmati, bergembira dan manafaatkan sessi rawatan dengan fikiran dan aktiviti laut biru.
e. Ayatkan diri dengan wirid-wirid syifa'.

Walau suhu panas, dan memang ia panas, tapi kalu kita kata okay tidak lah panas sangat dan kita manafaatnya ia tidak akan mengesan pada diri kita. Kita harus yakin, di Malaysia bila panas sangat selalunya akan ada hujan perolakan yang menyejukkan. Begitu juga dengan rawatan kemo. Memang akan rasa tidak selesa, tapi tidaklah ketidak selesaan itu terlalu melampau dan berpanjangan. Yakin pertolongan Allah itu hampir.

Selasa, 8 Disember 2009

Butiran Tasbih Kehidupan


Kehidupan ini satu rantaian ujian dalam senang dan ujian dalam susah. Allah tidak lihat hasil dari usaha dalam melalui ujian itu kerana hasilnya itu hak Allah. Tapi Allah sentiasa menilai kaedah yang kita pilih dan cara mana ia dilakukan samada mengikut syarak atau tidak, dengan berakhlak atau sebaliknya.

Allah jua melihat keyakinan kita kepadanya sepanjang ujian itu. Kerana ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita juga mengingatkan kita akan kewujudan Allah sebagai Allah tempat bergantung dalam setiap detik kehidupan ini dan yang pasti kita semakin hampir pulang kepangkuannya.

Tingkatkat usaha, tingkatkan amal , tingkatkan iman dan keyakinan padanya Allah.
Semoga kita sentiasa bertasbih dalam iman yang damai melalui setiap butiran ujian yang senang dan ujian yang susah.

Ujian bak warna-warna dalam alam. Warna itu menjadikan gambar kehidupan lebih indah. Warna itu jua membawa seribu bahasa bersamanya. Gambar kehidupan itu akhirnya kembali menunjukkan kepada kehebatan kasih dan cinta pencipta kehidupan itu.

Tidak hairan ramai yang meletakkan "Berjaya dalam takwa atau syahid dalam usaha" sebagai slogan atas kesedaran Allah tempat tumpuan segalanya.

Isnin, 16 November 2009

Makanan Yang Sesuai


Dua minggu lalu Ana salah seorang ahli keluarga pesakit kanser menalipon bertanyakan " Apakah makanan yang paling baik bagi pesakit kanser?" Saya sayang nenek saya. Saya ingin bantu nenek saya.

Jawapannya sebenarnya bergantung kepada keadaan pesakit. Dalam keadaan tiada apa yang mampu ditelan melainkan makanan itu, maka makanlah makanan itu. Sebab kadang-kadang bagi yang sedang menjalani rawatan mungkin mulut sakit, tiada selera dan bila makan sahaja muntah , maka makanlah makanan yang boleh ditelan dan tidak menyebabkan muntah.

Bagi yang telah sihat dan sihat , elakkan makanan bertoksin. Makanan bertoksin boleh menyebabkan sel kanser teruja. Apa makanan bertoksin itu?. Makanan yang mengandungi bahan kimia yang boleh meyebabkan kanser seperti MSG, protin yang terbakar cth. daging sate yang hangus. Makanan yang telah rosak semasa proses penyediaan atau semasa penyimpanan. Makanan mengandungi gula yang tinggi. Makanan mengandungi pewarna yang tidak selamat.

Banyakkan makanan segar. Makanan yang dimasak dengan baik. Makanan berkhasiat. Makanan mengandungi antioksida tinggi. Makanan segar yang berwarna warni.

Banyakkan minum air.

Banyakkan pernafasan yang betul.

Banyakkan senaman yang bersesuaian

Banyakkan rehat yang cukup.

Banyakkan tidor yang cukup.

Dan makanan yang terbaik adalah makanan jiwa dan iman:

Banyakkan berbicara dengan Allah dalam tahajjud , zikir sepanjang hari dan doa.

Banyakkan membaca bicara Allah dalam Al Qur'an , terjemahan dan tafsir.

Banyakkan membaca hadith tinggalan Ar Rasul untuk memahami dan meningkat pemahaman pada Islam.

Banyakkan baiki amalan wajib seperti solat, puasa, zakat.

Banyakkan tinggalkan kemurkaan Allah seperti akhlak buruk, membuka aurat, mengumpat dan sewaktu dengannya. Yang dielak , murka Allah.

Banyakkan usaha pada perkara kesukaan Allah yang kita rindui bersama.

Banyakkan memaafkan orang terutama yang kita sayang dan yang hampir dengan kita.

Banyakkan beri kasihsayang pada mereka yang kita berinteraksi baik manusia , haiwan maupun alam.

Banyakkan membaca tulisan tersirat dan tersurat dengan mata hati......

Banyakkan bersiratulrahmi...ia penyembuh jiwa

Banyakkan bersedekah ...ia pengubat raga

Bersangka baik dengan Allah dan yakinlah pada kasihsayangnya, kerana Allah "respond" mengikut tanggapan kita

Yang kita cari adalah kesihatan diri , jiwa dan raga untuk kesihatan dan kebahgiaan didunia dan di akhirat......Makan Makanan Yang Sesuai........................




Selasa, 3 November 2009

SEPAGI DI MAHKAMAH DUNIA

Hari ini hari pertama aku menjejak kaki ke mahkamah untuk menngikuti perbicaraan seseorang yang signifiken dalam hidupku. Pakir kereta penuh, maka aku perlu mencari tempat letak kereta di hadapan taman rakyat yang agak jauhnya satu kilometer dari komplek mahkamah.

Sesampai di depan pintu gerbang.....Allahuakbar tingginya tangga yang perlu dinaiki, dah terasa nak tercabut lututku, lebih kurang 100 anak tangga. Sudah lama aku tidak naik tangga sebegitu tinggi, baru nak kemahkamah dunia pun aku dah semput naik tangga, esok kalau lalu titi siratulmustakim tak taulah macamana dan bagaimana keadaan ku? Ya Allah mudahkan dan berilah kekuatanku. Aku melangkah satu persatu sambil berpegang pada pemegang tangga. Bagus juga mereka bina atap maka tidaklah panas. Anak tangganya kurang 6 inci dan tidak menyakitkan. Sesampai dipertengahan aku terserempak dengan suami kenalan ku, mereka suami isteri peguam. Kami saling menyapa. Setelah mohon padangan, beliau mengakhiri kata" Just enjoy the show. You know where to get me if you needs help''. Assalamualaikum. Aku pun terus perjalanan menaiki tangga. Alhamdulillah akhirnya sampai juga aku ke kompleks mahkamah.

Disebelah kiri laman seorang banduan yang baru turun dari trak polis ditemani pegawai polis menemui kaum keluarga. Seorang wanita agak berumur menyapu kepala banduan ini dan ngucup kepala banduan yang botak. Mungkin ibunya. Itulah tanda kasih ibu. Sejahat manapun anaknya, kasihnya tidak berubah. Didoakan anaknya sabar dan mendapat hidayah. Inikan pula kasih ibu pada anaknya yang dianiaya.

Di lobi pula, ramainya pemberita , berkelip-kelip ''Flash'' ambil gambar. Khabarnya pagi ini semua kes ahli-ahli politik pemerintah dan alternatif. Bagaimana negara nak maju, semua sibuk makan duit rakyat. Itu yang terbau.....yang tidak? Moga mereka dapat hidayah dan pulang kepangkal jalan.

Puan, kes itu tidak dipindah secara rasmi, jadi kes masih di Klang. Hari ini diteruskan di Klang. Terang peguam muda. Begitulah manusia, banyak kelemahan. Tapi mahkamah ALLAH yang Maha Sempurna , Maha Mengetahui tiada apa satu pun yang berlaku tanpa pengetahuannya.

Wahai diri, jagalah ALlah, ALlah akan menjaga mu. Cari redha Allah yang utama, bukan redha manusia semata. ALLah majikan mu, ALLah yang kau cintai.......

Rabu, 23 September 2009

Mastektomi dan lembayung senja kehidupan


Assalamualaikum kepada semua rakan seperjuangan. Apalah sangat perjuangan kita mengusahakan penyembuhan diri berbanding perjuangan sahabat-sahabat di Palestin.


Namun usaha mendapatkan penyembuhan itu adalah fardhu ain atas diri kita kerana salah satu tujuan syariat itu adalah menjaga kesejahteraan fizikal. Cara mendapatkannya pelbagai, dan banyak kaedah yang boleh dipilih. Adalah lebih bijak sekiranya kita mampu menggunakan segala kaedah itu dalam waktu yang sama untk mendapat hasil yang lebih baik dan optimum.


Sepanjang perkenalan dengan rakan-rakan yang diuji dengan kanser payu dara pelbagai presepsi tentang mastektomi. Ada yang tidak lakukan kerana takut kehilangan kasih suami, ada yang suami menghalang kerana tidak mahu isteri dirobek tubuh badannya. Ada yang merasakan diri bukan wanita yang sejati dan macam-macam lagi bisikan-bisikan yang datang dari golongan manusia dan jin. Anggota itu bukan milik kita , ia hanya perhiasan dan pinjaman dari Allah. Adakah kita masih mahu memulangkan pinjaman yang telah rosak pada Allah.


Sahabat ku, yang kita cari adalah kasih dan rahmah Allah, gantikan anggota yang rosak itu dengan jiwa dan keimanan yang hebat penyerahan pada Allah yang empunya segalanNya. Pastinya Allah jua tidak gembira kepulangan kita dengan keadaan yang sebegitu.


Pada pandangan saya kalau masih ada peluang untuk melakukan mastektomi lakukanlah. Walaupun "relap" atau ulangan serangan mungkin akan datang yang kita tidak tau bila, dan kita mungkin tidak sembuh sepenuhnya, namun adalah lebih baik kita menghadapi sangat kepulangan kepada Allah dalam keadaan yang lebih baik.


Kanser yang dibiarkan dipayu dara akan menyebabkan kudis yang bukan calang-calang buruknya dan tidak tertanggung baunya. Tidak perlulah kita menambah siksa atau kita menambah ujian kasih dan kesabaran ahli keluarga yang akan ditinggalkan semasa menguruskan kita dalam keadaan yang busuk dan hanyir akibat kudis kanser payu dara itu.


Sayangi dan kesihanilah mereka kaum kerabat kita. Keadaan diri kita yang sebegitu mungkin juga akan menambah sedihnya diri sendiri.


Pada pandangan saya adalah lebih baik kita usahakan kualiti sangat akhir kita itu supaya lebih nyaman dan damai umpama lembanyung senja yang menjanjikan episod malam yang indah. Supaya kita lebih dapat meninggalkan kenangan indah untuk suami , anak2 , ahli keluarga dan sahabat handai yang akan memberi kekuatan kepada mereka kala diuji. Dengan harapan Allah juga menerima segala usaha kita itu dan menyambut kepulangan kita kehadratNya bersama para malaikat seperti menyambut syuhada' di medan jihad.


Salam


Rosliya



Rabu, 16 September 2009

MANA MILIK KITA ?



Bapa....semoga Allah mengampun kan mu dan meletakkan mu di taman syurganya. Walau namamu sentiasa berganding dengan nama puteri mu ini, namun kau jua bukan milik ku...
Emak...kau yang mengandung dan melahirkan ku. Namamu disebut bila aku ditalqinkan...kau jua bukan milik ku...semoga Allah mengampunkan mu, memudahkan mu dan mengangkat darjat mu. Semoga emak dan bapa berbangga dengan kami didunia dan akhirat. Tidak terbalas budi dan pengorbanan mu pada kami.


Anggota badan ku....bersama ku ketika ku dilahirkan ...tiada satu antara kamu milik ku... kamu hanya pinjaman.


Ya Allah , aku milik mu...dan aku tak punya apa melainkan aku mengaku engkaunya Allah sebagai tuhan ku satu-satunya yang ku sembah.
Ku mohon keampunanmu akan segala kesilapan ku. Ku mohon syurgamu, walau ku sedar amat sedikit kepatuhan ku berbanding rahmat mu.


Aku termalu sendiri akan kelalaian diri ...di kesempatan ramadhan yang mulia ini kau kurniakanpada ku redha dan keampunan mu...................jannahmu dan aku beroleh kebahgiaan dapat bersama ahli keluarga disyurga bersama kekasih mu dan dapat melihat wajahmu ...Ya Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..ameen




Ahad, 19 April 2009

Sakit : Salah Satu Tanda Kasih Sayang Allah

Penyakit yang Allah beri kepada kita umpama deringan loceng ingatan Allah pada kita bahawa ada sesuatu yang perlu dibaiki dalam baki kehidupan yang ada.

Adalah bijak kita melihat penyakit yang kita hidapi mauapun apa juga yang kita alami ini dengan fikiran positif. Dengan berpemikiran positif dalam mengurus dan menyelesaikan sesuatu
membuka banyak pintu pintu penyelesaian yang positif juga. Pemikiran yang positif amat membantu dalam penyembuhan.
Bersangka baiklah dengan Allah. Apa yang diberi Allah kepada kita sebagai peringatan untuk kita jadi lebih hebat lagi disisinya dengan meningkatkan fungsi sebagai khalifah fil ard , pengurus dibumi. Adalah bijak untuk kita jadikannya satu fasa untuk menilai diri secara seimbang di sudut emosi,minda,fizikal dan rohani.
Sejauhmana kita mengurus emosi kita mengikut syariat yang di ajarkan Ar Rasul?
Sejauhmana kita mengurus minda kita mengikut syariat yang di ajarkan Ar Rasul?
Begitu juga dengan fizikal dan rohani kita. Pastinya kita akan menemui banyak lagi pencapaian kita yang boleh kita tingkatkan.
Contohnya dalam amalan tiang agama kita iaitu solah. Berapa kita beri markah pada mutu solat kita dalam skala 1-10? Kita solat dengan penuh rindu dengan Allah? Di awal waktu? Berjemaah? Faham makna bacaan? Mengetahui semua hukum dalam solat? Ayat-ayat yang kita baca masih anatar 3 Qul walau kita dah baligh 10 tahun yang lalu, tak tau mana lak tu?
Setelah sedar pencapaian solat kita sebelum kita didiagnos, kita buat perancangan yang mampu kita lakukan dengan peningkatan yang berdikit dikit dan pastikan ia berterusan meningkat.
Lakukan yang sama pada sektor lain dalam kehidupan seharian kita.
Bila kita melakukan ini umpama kita membaiki akar pokok kehidupan kita. Akar ini berkembang dengan subur. Hasilnya kita akan dapat rasa kehidupan ini lebih bermakna dan kita akan berasa lebih bersedia untuk menemui Allah. Pohon kehidupan kita akan lebih subur dan sihat mengikut tuntutan syariat yang Allah turun dalam Al Qur an dan Ar Rasul Nabi Muhammad s.a.w.
Selamat Mencuba

Selasa, 7 April 2009

Bersantai Sebahgian Dari Rawatan

Masing-masing kita menghadapi cabaran yang pelbagai. Bersantai bersama keluarga dan rakan amat membantu dalam penyembuhan dari ketegangan emosi lebih-lebih lagi dalam cubaan yang menggugat jiwa.

Bersendiri bersama Allah pula banyak melegakan ketegangan yang tidak terkongsi dengan keluarga dan rakan. Banyakkan istigfar dan taubat. Banyakkan berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w. Satu kaedah yang sangat cepat dalam melegakan kesedihan. Hadiahkan bacaan Surah Al Ikhlas pada diri sendiri dan mereka sekeliling, semoga kita tabah dan kuat menghadapi apa jua cabaran, dan mereka jua. Ketabahan dan kedamaian mereka sekeliling kita amat penting dalam membantu ketabahan dan kedamaian kita.

Yakin lah hanya Allah yang dapat membantu kita. Bantulah diri kita untuk dibantu Allah dengan mematuhi perintahnya dan perkara sunat. Berlumba-lumbalah mendapat pertolongan Allah

Ahad, 5 April 2009

Cabaran , Kehidupan dan Kelahiran

Kehidupan itu adalah rangkaian cabaran. Berjaya atau gagal menghadapinya adalah sejauh mana kita mampu menghadapi dan bertindak dengan bijak mengikut syariat dikala perkara itu berlaku. Setiap detik waktu dan langkah penuh pembelajaran. umpama bayi yang mula mengenal dengan sentuhan.

Setiap kali kita mengahadapi cabaran samada suka atau duka , ia seumpama kelahiran seorang bayi. Kita akan membesar atau matang dengan cabaran itu seperti seorang bayi melalui hari-hari yang penuh erti dalam kehidupannya. Kita mula bertatih hidup dalam cabaran itu, mengangis kedukaan atau berlari-lari kegembiraan. Disana sudah pasti ada ibu bapa dan kaum keluarga yang membantu, jika tiada manusia bersama kita pasti alam yang penuh dengan Ayat-ayat Cinta Allah sentiasa bersama.

Jika kita pantas menghadapi cabaran itu dengan bijak mengikut syariat, kita adalah seorang hamba Allah yang dewasa dengan cabaran itu. Kedewasaan itu harus dikembangkan dengan berkongsi pengajaran yang diambil dari cabaran itu dengan masyarakat. Sudah pasti diluar sana ada manusia lain yang Allah uji untuk menambah pengalamannya dan meningkatkan keimanannya seperti mana Allah menguji kita untuk menghapus dosa, meningkat pahala dan menaikkan darjat disisinya.

Selasa, 31 Mac 2009

Labaikaullah humma labaik


Banyak perubahan pada fizikal badan penulis ini. Banyakjuga perubahan pada kota Mekah Al Mukarramah di sudut prasarana dan peraturan hatta di Masjidil Haram sendiri. Berbeza dengan 5 tahun dulu, ruang solat telah ditambah dan ada yang masih dalam pembinaan. tempat sa'ei juga sudah bertingkat dan semakin luas. Dulu tidak dibenarkan ambil gambar. Sekarang boleh sahaja. Cuma terkadang kala ada juga makcik-makcik yang memegang pandangan yang rigid sekali sekala melarang.

Yang lebih penting perubahan kepada penulis adalah yang menghampirkan diri pada Allah disudut emosi, fizikal, minda, rohani dan kehidupan.

Umat Islam serata dunia berpusu-pusu mengerjakan segala ibadah berkaitan di Mekah walau bukan musim haji. Waktu saya di Mekah 16-27 Mac masih dalam visa ziarah. Tapi keadaannya tak jauh beza dengan musim haji. Tawaf ketat juga, tapi sa'ie memang terlebih ketat macam musim haji. Begitu juga keadaannya bila berjalan pulang selepas solat waktu. SubhanaAllah, besar sungguh kuasa Allah menjadikan umat manusia sangat cinta pada bumi ini.

Tapi begitu ramai kita masih juga kita belum kuat mengalahkan kuasa zionist dan kekufuran hatta sesama umat Islam belum bersatu dengan padu.

Dalam usia menjangkau 45 tahun ini terasa juga penat dan sakit-sakit badan dalam beribadah. Tapi bila lihat ada lagi penziarah yang lebih berusia hatta yang bertongkat dan bongkok tiga pun begitu bersungguh beramal , naik balik kekuatan untuk meneruskan ibadah.

Alhamdulillah, memang benar Allah akan menjaga agamanya, dan lembah ini akan terus menjadi tumpuan umat manusia seperti dalam doa Nabi Ibrahim.

Semoga Allah menggantikan sesuatu yang luput dari diri ini dengan sesuatu yang lebih baik dari itu. Amat sedikitlah pujian yang ku panjatkan pada mu Ya Allah berbanding nikmat yang telah engkau berikan.

Hambamu ini amat mengharap keampunan dan beroleh kejayaan dengan syurga dan dapat nikmat melihat wajahmu Ya Allah tuhan yang empunya rumah yang tua ini.

Madinatun Nabi , The place that I love to go


Alhamdulillah, 16-27 Mac yang baru lalu , Susilawati Hamzah dan keluarga telah sudi menumpangkan saya untuk menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W dan buat Umrah dan ziarah. Rombongan kami ada 12 orang. Terharu betul malam tu bila selamat mendarat di kota Jeddah tempat Nenda Hawa dikebumikan. Air mata menitik sepanjang jalan 5 jam menuju Madinah. Terasa lain berada dibumi Anbiya'. Teringat pelbagai masalah dan dugaan yang ditinggalkan di tanahair. Berdoa bersungguh supaya semuanya selesai dan terurus dengan baik.

Kali terakhir menjejak kaki di Madinah adalah 5 tahun yang lalu , 6 bulan selepas buat mastektomi. Kali ini pula 9 bulan selepas buat Total Histerektomi. Mohon umrah dan ziarah ini dapat menguat semangat dan membersih jiwa.

Terasa damai menjejaki tetapak para sahabat Ansor dan Muhajirin disekitar Masjid Nabawi 1430 tahun yang lalu.

Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan

Assalamualaikum, Ahlan Wa Sahlan
Lima tahun yang lalu saya Allah pilih untuk menerima ujian dengan didiagnos mengidap kanser payudara. Alhamdulillah proses rawatan berjalan lancar. Insiden itu telah merubah saya ketahap yang lebih baik dari segi iman, amal malah kehidupan saya keseluruhannya. Sekiranya anda ingin sokongan moral dalam menghadapi kanser bolehlah menghubungi saya di rosliya@pusrawi.com.my. atau 019-7579928 Salam